Thursday, February 19, 2009

MOTIVASI HARTA, DUIT & KISAH RAJA NASYID DITIPU

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Allah swt telah mengingatkan kita berkali-kali di dalam kitab suci Al-Quran, demikian juga Baginda Nabi s.a.w sama ada melalui hadis dan juga perbuatannya.

Tipu daya wang dan harta begitu mencengkam di dalam hati dan diri manusia. Tipudaya ini pasti akan mendapat tempat di dalam jiwa sesiapa jua yang menjadikan kehidupannya berorientasi dan berkiblat keseronokan kekayaan orang kaya.

Bercerita berkenaan kejayaan dan kekayaan orang kaya sememangnya seronok dan menarik serta boleh memotivasikan diri. Namun tanpa kawalan, panduan dan pemantauan motivasi yang sihat boleh bertukar menjadi suatu kerakusan, ketamakan dan motivasi negatif yang memakan diri dan sesiapa sahaja di persekitarannya.

Hasilnya,

Rakan menjadi musuh,

Suami isteri bercerai berai,

Anak dan ibu bapa terpisah,

Jiwa atau nyawa boleh melayang,

Maruah tergadai,

Sokongan bertukar cercaan,

Cercaan bertukar sokongan dan dokongan,

Haram menjadi halal,

Ulama tidak terlepas menjadi mangsa, mereka mungkin DIKUTUK sama ada kerana kebenaran kerana tidak mahu menghalalkan yang haram atau DIKUTUK kerana menggadaikan prinsip dan hukum kerana wang dan jawatan sehingga menghalal yang haram, menyokong yang dengan pelabagi alasan lemah kebiasaanya atas nama ‘maslahat'. Mudah juga menghalalkan yang haram, sebut sahaja nama ‘maslahat'. Ingatlah, setiap maslahat punyai pelbagai syarat dan ketetapan agar ia tidak sewenangnya dipermain.

Itulah ‘pukulan' duit beribu atau berjuta dan harta. Sukar bukan untuk menolak tawaran RM 1 juta, 5 Juta, RM 50 juta; jangan juta, sekadar RM 5000 sahaja sudah memadai untuk membeli jiwa, nyawa, maruah seseorang di zaman ini.

MOTIVASI KAYA TANPA KAWALAN BAHAYA

Kerana sebuah motivasi kaya dunia, manusia berubah menjadi suatu jenis ‘monster' di hatinya. Sanggup sahaja dragut kedamaian sesiapa sahaja asal sasaran di hati sebagai jutawan boleh menjadi realiti.

Amat wajar kita sama-sama memuhasabahkan diri masing-masing. Saya, anda, keluarga kita dan rakan-rakan.

Tiada siapa yang boleh mendabik dada mengaku diri sudah kebal dari cabaran ini. Bukan diri kebal, Cuma ujian sepertinya mungkin belum tiba. Bila ia tiba akan diketahui letak duduknya keimanan dan keyakinan terhadap suatu alam yang amat amat pasti iaitu barzakh, melalui kematian pemutus segala nikmat sementara dunia.

Nikmat pujian, nikmat populariti, nikmat wang dan harta, nikmat sokongan, nikmat apa lagi..? selamat tinggal semuanya.

RAJA NASYID DUNIA SAMI YUSUF DI'TIPU'

Sejak awal tahun 2008, saya sudah mengkagumi nasyid Asma Allah yang dipersembah oleh Sami Yusuf. Dikatanya, itulah salah satu lagu nasyid bagi sebuah album barunya yang bakal terbit sekitar bulan Ogos 2008. Namun, tidak juga muncul. Sebagaimana saya meminati Jet Li dalam bab kungfu, saya juga meminati Sami Yusuf dalam nasyidnya.

Februari 2009, akhirnya muncul album ketiga beliau bertajuk ‘Without You'. Saya dapat mendengar hampir kesemua lagu di dalam album ini melalui pelbagai kemudahan di internet. Namun yang mengejutkan adalah ia satu ‘PENIPUAN'!?

Benar, ia sememangnya suara Sami Yusuf di dalam tersebut, begitu juga penerbitnya iaitu Awakening Records. Ia juga diiklan di web http://www.samiyusuf.com/ (amaran ini bukan web Sami yusuf yang sebenarnya)

Hakikat sebenarnya, web tersebut dikawal oleh penerbitnya yang makan kawan sehingga mendahului Sami Yusuf. Ringkasnya, album ‘Without You' dikeluarkan tanpa persetujuan Sami Yusuf. Keadaan ini semakin jelas apabila rupanya web sebenar Sami Yusuf adalah http://www.samiyusufofficial.com/, dimana beliau menyeru orang ramai terutama peminatnya untuk memboikot album ‘without you'. Disertakan juga video pengakuan lisan beliau yang mengatakan album ini adalah satu pencabulan tanpa persetujuan. Dengarkan ucapan Sami Yusuf di temubual beliau dengan Riz Khan di web rasmi Sami Yusuf.

Apa sebenarnya berlaku,?

Rupanya album Sami Yusuf bertajuk al-Muallim telah terjual sekitar 5 juta album. Konsertnya di Wembley menyebabkan jammed teruk di London. Keadaan ini agaknya menyebabkan pihak penerbit yang mulanya amat rapat dengan Sami Yusuf dirasuki virus yang telah kita sebutkan di atas. Virus ketamakan dan motivasi kaya tanpa kawalan, sehingga tidak lagi sabar dan menurut Sami Yusuf, penerbitnya menjadi tidak telus dalam urusan.

Akhirnya pihak Awakening menerbitkan album ketiga yang bertaraf demo dan mp3. Pihak Awakening mendakwa mereka mengeluarkannya secara sah kerana perjanjian dengan Sami Yusuf adalah 5 buah album.

Album sebenar akan keluar katanya dalam beberapa waktu terdekat.

SAYA PERNAH MENJADI MANGSA TERBIT TANPA IZIN

Saya sendiri walau bukan punyai status popular di dalam masyarakat, NAMUN pernah merasai keadaan ini. Iaitu apabila cd kurusus solat saya diterbit dan dijual tanpa keizinan dan persetujuan saya. Mungkin anda pernah menjumpainya di mana-mana.

Benar, sememangnya saya berpakat dengan pihak yang merakam untuk menerbitkannya, namun setelah saya meneliti cara ceramah dan kandungan kursus itu saya tidak merasakan ia sesuai untuk disebarkan kepada umum disebabkan kualiti rakaman dan juga kesesuaian kandungannya untuk seseorang diluar kursus. Namun, ia terjadi dan setiap kali ini terjadi, pertikaman lidah dan pertengkaran sukar dielakkan dan ia amat dikesali.

Kenyataan rasmi Sami Yusuf berkenaan penerbitan Album baru tanpa izinnya. BUKA SAMI YUSUF

sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

19 Feb 2009

No comments: