Saturday, September 6, 2008

Sentuhan Seberang di Ramadhan 1429H

OPICK

Sudah 3 bulan kereta saya makmur dengan sentuhan album Ya Rahmaan oleh Opick bagi Ramadhan 1428 yang lalu. Lagunya masih segar dan menyentuh diri, hingga Yop, Naurah dan Imad juga masih tidak jemu-jemu melayan lagu Assalamualaikum, Taubat, Rapuh dan lain-lainnya.

“Nak lagu Opick!”, kata anak-anak saya, tatkala kami menukar CD ke album yang lain.

“Abi ada lagu Opick baru”, saya membuat pengumuman rasmi.

Ramadhan 1429, Opick meneruskan suksesnya dalam menghasilkan lagu-lagu yang sangat luar biasa sentuhannya. Setelah terbitnya Istighfar (2005), Semesta Bertasbih (2006) Cahdan Ya Rahman (2007), maka pada tahun ini, Ramadhan diserikan dengan kemunculan CAHAYA HATI.

Terima kasih kepada prismantiq kerana memaklumkan kemunculan album yang memang saya nanti-nantikan ini.

Kelebihan Opick, seperti album-albumnya terdahulu, boleh dikatakan setiap satu lagu yang dimuatkan di dalam album CAHAYA HATI INI ada keenakannya yang tersendiri. Sedap didengar dan lama bertahan sebelum terasa ingin mengubah selera. Bukan sahaja susunan muziknya yang segar dan mesra jiwa, lirik-lirik yang didendangkan juga begitu membangkitkan rasa.

Namun jika mahu diberikan rating, saya meletakkan lagu CAHAYA HATI (Trek 2) di tempat pertama. Diikuti dengan KETIKA CINTA (Trek 7) dan YA NABI SALAM (Trek 3). Manakala lagu yang menyebabkan Imad terhenjut-henjut ialah RAMADHAN TIBA (Trek 10).

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Berikut adalah senarai penuh trek di dalam album CAHAYA HATI:

  1. Hanya Allah
  2. Cahaya Hati
  3. Ya Nabi Salam
  4. Alangkah Indah
  5. Cinta Setulus Jiwa
  6. Hamba Hamba Allah
  7. Ketika Cinta
  8. Allah Ya Nur
  9. Tuhan Lindungilah
  10. Ramadhan Tiba

Demo lagu ini boleh dimuat turun di SINI.

Tahniah buat karyawan pilihan saya, pemilik nama penuh Aunur Rofiq Lil Firadus ini.

UNGU

Ramadan itu memang musim terbitnya album-album ‘Islamik’ yang enak-enak di Indonesia.

Selain Opick, saya juga mengumpul koleksi album kumpulan UNGU versi Ramadan. Setelah kejayaan album SURGAMU (2006) dan PARA PENCINTAMU (2007), sentuhan yang bagus diteruskan dengan kemunculan album AKU DAN TUHANKU bagi Ramadhan 1429 ini.

Seperti biasa, hanya 5 lagu dimuatkan bersama lima lagi trek versi karaoke. Jika mahu dibuat rating, maka lagu pilihan saya ialah DOA YANG TERLUPAKAN (Trek 5) dan CAHAYAMU (Trek 4).

Berikut adalah senarai trek penuh album AKU DAN TUHANKU:

  1. Dengan NafasMu
  2. Hidup Hanya Sementara
  3. Syukur [Alhamdulillah]
  4. CahayaMu
  5. Doa Yang Terlupakan
  6. Dengan NafasMu [Karaoke Version]
  7. Hidup Hanya Sementara [Karaoke Version]
  8. Syukur [Alhamdulillah] [Karaoke Version]
  9. CahayaMu [Karaoke Version]
  10. Doa Yang Terlupakan [Karaoke Version]

Demo lagu ini boleh dimuat turun di SINI

JATUH HATI DENGAN KARYA SEBERANG?

Apakah selepas berulang kali ke Indonesia, maka pemilihan album Opick dan Ungu ini memberi makna bahawa saya jatuh hati dengan Indonesia?

Saya peminat kualiti.

Justeru di Indonesia itu saya jatuh hati dengan penghasilan pemikiran tokohnya, juga sentuhan seni karyawan mereka. Kualiti yang saya cari tiada jenama bangsa atau negara. Lantas kuota 90 - 10 yang cuba KARYAWAN usulkan baru-baru ini, saya kira yang menumpulkan lagi hasil seni tempatan. Comfort zone yang dipertahankan menjadi sebab utama kemunduran kualiti kita.

KEUTAMAAN

Akhir kalam, di samping OPICK dan UNGU, pastikan RAMADHAN makmur dengan AL-QURAN kerana bulan ini adalah bulan kita memperbaharui cinta kita kepadanya.

Jika mahu Allah bercakap denganmu, dengarlah bacaan al-Quran.

Jika kamu mahu bercakap dengan Allah, dirikanlah Solat.

Sesungguhnya bulan ini adalah bulan menyubur cinta kepada-Nya… dengan mendampingi kalam-Nya AL-QURAN.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

p/s: setelah memuat turun album OPICK dan UNGU, saya ingin menunaikan tugas sebagai pembeli. Jika ada adik-adik di Indonesia yang pulang bercuti, ingin sekali saya memesan senaskhah CD bagi setiap album ini.