Wednesday, July 16, 2008

MENJIWAI PEMBERONTAKAN DI DALAM NASYID

studio-gemilang.jpg

“Ada ke latihan nasyid hujung minggu ni?”, saya bertanya.

“Ada. Macam biasa. Datang rumah kami la!”, Bob membalas.

Kami tersenyum.

Biar pun ahli kumpulan nasyid kami bertebaran, terpisah di kampus-kampus yang jarak antara satu sama lain mencecah 200km, pertemuan untuk berlatih nasyid sememangnya ditunggu-tunggu. Jarang sekali saya berasa keberatan untuk datang ke sesi latihan, biar pun terpaksa menggendong buku rujukan dan nota peperiksaan.

“Nasyid, nasyid juga. Lepas ni nak makan apa?”, tanya Syamsul.

“Ala, habis ni nanti, kita makan di Math’am Shami pun ok”, Jat membalas.

Ada masanya kami singgah makan di kedai. Tetapi selalunya, ketika kami sibuk berlatih, ada sebahagian ‘penyokong’ yang sudi memasak. Apa susah, dua ekor ayam masak kari susu (santan terlalu mewah untuk kami), kobis tumis, dan nasi 4 talam. Perfect!

Sesi latihan nasyid kami bukan sebarangan.

Boleh dikatakan, setiap kali sesi latihan untuk satu persembahan berlangsung, pasti ada lagu baru. Sekurang-kurangnya satu, biasanya dua atau tiga. Entah dari mana curahan inspirasinya, saya dan rakan ketika itu sungguh prolifik. Hampir setiap masa, di dalam kepala saya sarat dengan bahan mencipta lagu. Sama ada ia irama, mahu pun senikata, sebuah nasyid boleh tercipta ketika saya melangkah batas-batas kebun di antara rumah dan masjid di Mazar.

Dalam serba kekurangan, walkman yang mempunyai perakam, adalah teman setia untuk menyelamatkan ‘ilham’ dari terbang dibawa angin.


LAGU SENDIRI

Pantang benar rasanya membuat persembahan dengan menyanyikan lagu orang lain!

Kami berusaha sedaya upaya untuk menyediakan lagu baru di dalam setiap persembahan. Andaikata jumlahnya tidak mencukupi, nasyid kumpulan lain yang kami pilih, mestilah sehati sejiwa dengan aspirasi kami. Lazimnya, kami melihat Usrah al-Wadi di Mesir sebagai rakan seperjuangan, maka nasyid merekalah yang mencelah-celah nasyid ciptaan kami sendiri.

Nasyid kami tersendiri.

Tumpuan tidak sekadar pada rentak irama, tetapi lebih kepada senikata yang penuh cerita. Malah, dalam banyak-banyak nasyid yang kami persembahkan, tidak kurang yang mencetuskan kontroversi. Lazimnya, telinga yang tersinggung dengan nasyid kami adalah dari kalangan mereka yang duduk di bangku selesa semasa berada di dalam majlis kami. Sama ada bangku selesa itu diperolehi kerana statusnya sebagai ’senior’, ‘pemimpin pelajar’ atau apa sahaja, mahu pun kerana beliau seorang ‘Perdana Menteri’!

Ya, mengapa tidak?


JEMPUTAN LUAR BIASA

Masih jelas di ingatan pada tahun 1994, kami dijemput oleh Dato’ Abdul Hayy al-Majali yang ketika itu merupakan Konsulat Kehormat Malaysia di Jordan untuk membuat persembahan ‘live‘ di kediaman rasmi beliau. Tujuannya, adalah untuk meraikan rombongan Perdana Menteri Malaysia yang berkunjung ke Jordan!

Aha… kami dikehendaki membuat persembahan di hadapan Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad dan rombongan. Rafidah Aziz, Wan Mokhtar Wan Ahmad, Muhammad Muhammad Taib dan ramai lagi… bakal disajikan dengan ‘nasyid perjuangan kami’!

Permintaan Dato’ Abdul Hayy al-Majali itu sangat spontan. Kami hanya diberi masa sejam untuk membuat persiapan.

konsul.jpg

Bergambar bersama PM Malaysia dan PM Jordan selepas membuat persembahan


“Wei, lagu apa nak nasyid ni?”, kami bertanya sesama sendiri.

“Nyanyi nasyid biasalah. Kenapa mesti lain?”, kata Azri yang menjadi tauke gendang kami.

“Orait. Salam Muhibbah sebuah, penutupnya Tetamu Dataran Syam. Pandai-pandailah ana nak ubah lirik nanti!”, saya memberikan persetujuan.


TIDAK BERGANJAK

Semasa kami membuat persembahan, rombongan PM ketika itu begitu asyik mendengar. Saya terasa geli hati melihat Rafidah Aziz beriya-iya bertepuk tangan mengikut rentak nasyid kami. Mungkin tak terpedulikan lirik kami, gendang itu hanya didengari seperti ‘joget arab’!

Pusingan pertama, selesai dengan baik. Kami meneruskan persembahan dengan lagu kedua…

Tetamu Dataran Syam, engkaulah harapan. Untuk ummah melihat masa depan. Sebagai ulama’, sebagai pejuang. Islam pasti akan kau merdekakan!“, saya menghabiskan bait-bait nasyid Tetamu Dataran Syam.

Saya terkejut melihat PM berhenti mengunyah. Jika tadi beliau hanya menundukkan mukanya, tidak bersorak seperti rombongan yang lain, tiba-tiba sahaja beliau meletakkan sudu dan garpu lantas terus memberikan perhatian kepada persembahan kami.

Saya terus bernasyid seperti biasa.

Selesai bernasyid, kami disediakan dengan meja khas untuk makan minum tidak jauh dari meja rombongan PM ketika itu.

“Ok ke persembahan kita tadi?”, saya kurang pasti.

“Ok. Ok punya. Tak nampak ke Rafidah Aziz bertepuk tangan tadi?”, kata Erfino kepada kami.

Malam itu, sungguh nostalgia buat kami semua. Saya juga berasa puas dapat menyampaikan isi hati saya tanpa segan silu di hadapan Perdana Menteri Malaysia dan rombongan.


TERUS BERKARYA

Dua tahun selepas itu, rentak kami masih bertahan. Biar pun tenaga-tenaga pengasas Usrah al-Firdaus seperti Ustaz Erfino, Ustaz Bob, Ustaz Majdan Alias serta yang lain-lain telah menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air, kami sebagai generasi kedua masih terus berkarya. Latihan nasyid masih rancak, dan nasyid baru masih terus dihasilkan hingga dua album selesai kami hasilkan.

Album itu bukan album suka-suka. Ia adalah hasil karya kami sendiri, dengan modal yang dikeluarkan oleh para ‘peminat’, khususnya srikandi muslimat yang komited dan penuh yakin dengan keupayaan kami. Ribuan Dollar Amerika dikumpul untuk menampung penghasilan dua album kami, iaitu Gemilang pada tahun 1995 dan Dunia Ini pada tahun 1996.

Tetapi langit tidak selalu cerah.


TIDAK DISENANGI

Semakin usia saya bertambah, senikata dan idea yang tersuntik ke dalam nasyid ciptaan saya menjadi semakin pelik dan tajam. Ia makin menimbulkan rasa tidak selesa banyak pihak.

Layakkah engkau memimpin manusia, jika dunia kita dirasai seakan sudah sempurna membunuh persaudaraan!“, semasa menyampaikan nasyid Hari Raya Hari Kemaafan itu, saya menyampaikan rangkap ini dengan menumpukan perhatian kepada wajah para senior yang bertaraf pemimpin.

Mesej saya tidak susah untuk difahami. Saya tidak suka dengan perlakuan ‘ustaz-ustaz’ skema yang memencilkan golongan yang diistilahkan ketika itu sebagai ‘puak liberal’. Janganlah dibahaskan konotasi istilah itu, kerana apa yang saya maksudkan di dalam nasyid tersebut adalah mereka yang mahu menjadi pemimpin, jiwanya mesti jiwa integrasi dan engagement, bukan pemencilan, menghukum dan mengkesampingkan golongan yang tidak sekepala atau serasa.

Di sana sahabat dan juga teman, telah kautinggalkan. Didorongi berlainan pemikiran juga cara kehidupan!“, saya melengkapkan pakej kontroversi nasyid tersebut.

Wajah-wajah kelat di bawah pentas memahamkan bahawa saya berdepan dengan masalah. Tetapi entah di mana puncanya, masalah itu mendatangkan kepuasan! Mungkin itu kelakuan biasa golongan ‘anti establishment‘.


KOMERSIL

Semasa album ketiga yang merupakan kompilasi nasyid-nasyid Aidilfitri mahu dihasilkan, lagu ciptaan saya mengalami penapisan. Oleh kerana The Zikr dan Nadamurni sudah muncul sebagai Raihan, Hijjaz dan Rabbani, maka arus mengkomersilkan nasyid mula melanda.

Lirik-lirik ciptaan saya diubah suai tanpa persetujuan saya.

scan0012.jpg

Selepas sebulan bercuti di Turki mengumpul bahan kajian, saya pulang ke Jordan dan berasa amat terkejut apabila nasyid ciptaan saya telah selesai dirakam di studio dengan lirik yang telah ditukar, demi membuang kontroversi dan menyedapkan telinga semua pihak.

Di sana sahabat dan juga teman, jangan kau tinggalkan. Amalkanlah cara hidup bersaudara serta berkasih sayang!“, telinga saya luka mendengar lirik baru ini. Bukan sahaja mesej asalnya diubah, malah kualiti dan susun bahasanya juga menjadi caca merba.

Saya mengambil langkah drastik berhenti dari dunia nasyid dan terus menyepikan diri. Semenjak keluarnya album Bingkisan Aidilfitri, saya berhenti dari membuat persembahan, malah hilang idea untuk mencipta lagu baru.

Rupa-rupanya ketika itu saya prolifik kerana nasyid menjadi wasilah saya menyalurkan jiwa yang memberontak. Pemberontakan itu menjadikan jiwa dan senikata ada sasaran dan bukan kata-kata penyedap telinga semata. Tetapi apabila pemberontakan dihapuskan dari nasyid, unsur komersil disuntik untuk menyedapkan telinga pendengar… segala-galanya hambar, dan saya lebih rela menjadi penagih nasyid Turki dan Arab, berbanding meminati nasyid Melayu yang terus layu.


GIG

“Tahun ini adalah tahun lagu underground!”, komen seorang peminat ketika mengulas kemenangan kumpulan Estranged di dalam Juara Lagu baru-baru ini.

Biar pun saya tidak menyokong budaya tidak senonoh dan pergaulan bebas dalam gig kumpulan underground yang banyak di dalam masyarakat kita hari ini, saya berlapang dada untuk membuka ruang memahami apa mesej mereka. Dan kerana itu saya tahu bahawa kumpulan-kumpulan itu sangat prolifik, tulus dalam muzik mereka, dan mampu berdikari dalam menghasilkan lagu serta album, kerana mereka memiliki ciri yang sama dengan kami, biar pun dalam genre dan budaya yang berbeza.

Pertama, kami menolak unsur-unsur komersil.

Kedua, lagu kami adalah pemberontakan.

Apabila gig kumpulan underground itu mula menjamah nilai komersil, mereka akan menjadi sampah, sebagaimana sampahnya kebanyakan nasyid hari ini.

Dalam dunia karya, hanya jiwa yang memberontak sahaja, tulus dalam pengucapan mereka!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

p/s: dapatkan koleksi nasyid ‘underground’ kami di bawah ini:

  1. Koleksi nasyid dari album GEMILANG, 1995 [download here]
  2. Koleksi nasyid dari album DUNIA INI, 1996 [download here]
  3. Koleksi nasyid dari album BINGKISAN AIDILFITRI, 1997 [download here]

No comments: